ad
AGENSI

Insiden air biru di Beranang, LUAS buka kertas siasatan

6 Feb 2025, 7:56 AM
Insiden air biru di Beranang, LUAS buka kertas siasatan

SHAH ALAM, 6 FEB: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membuka kertas siasatan terhadap premis mencetak kotak susulan pencemaran air berwarna biru di Sungai Kabul, Beranang, semalam.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata siasatan menemui sisa pewarna dipercayai dakwat pencetak dari premis yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Mahkota, Beranang.

“Sekitar jam 12 tengah hari semalam terdapat aliran air berwarna biru dikesan di paip tanpa kebenaran (bypass) yang telah ditutup oleh pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ).

“Pasukan LUAS telah segera meletakkan empat beg karbon teraktif (AC) di kawasan longkang tersebut sebagai langkah kawalan dan pencegahan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Jamaliah, tindakan pantas LUAS bersama beberapa agensi lain berjaya mengelak risiko pencemaran Sungai Kabul seterusnya gangguan kepada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang terletak 16.3 km daripada lokasi berkenaan.

Tambahnya, MPKJ dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengarahkan premis tersebut menghentikan operasi serta-merta selain turut menyita premis berkenaan.

“Penemuan ini juga sekali gus berjaya mengenal pasti punca kepada beberapa insiden aliran air tercemar berwarna di Sungai Kabul yang berlaku pada 15 Januari lalu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999 atas kesalahan mencemarkan sumber air dan LUAS turut melaporkan perkara berkenaan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk tindakan lanjut.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.