SHAH ALAM, 6 FEB: Lebih RM50 juta telah dibelanjakan oleh 700,000 penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kategori miskin dan miskin tegar setakat semalam, maklum menteri kewangan II.
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata ia melibatkan pembelian barangan keperluan asas di lebih 1,600 pasar raya dan kedai runcit terlibat sejak diagihkan pada 15 Januari lalu.
“Kadar penggunaan tertinggi dicatatkan di Perlis dengan 97 peratus, diikuti Terengganu dan Kedah (95 peratus).
“Penggunaan MyKad untuk SARA telah meluas tahun lalu dan penggunaannya lebih 90 peratus di kebanyakan negeri. Jadi kita rasa tidak ada isu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu mengenai keberkesanan penggunaan MyKad bagi penerima SARA.
Mengulas lanjut, katanya kerajaan kekal komited dan sentiasa memantau situasi semasa dalam memastikan bantuan tunai langsung terus disalurkan kepada golongan rentan dalam mendepani cabaran kos sara hidup.
“Kerajaan sentiasa memantau untuk menambah kedai-kedai dan pasar raya yang boleh menggunakan SARA agar lebih menyenangkan penerima yang ada,” katanya.
Menurutnya strategi pelaksanaan SARA dalam memastikan bantuan diterima adalah bantuan akan diterima secara tanpa tunai (cashless) secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima.
“Bagi baki nilai SARA yang tidak dibelanjakan pada bulan berkenaan, ia akan dibawa ke bulan hadapan dan tamat tempoh penggunaannya pada 31 Disember 2025.
“Selain itu, pemakluman sesi on-boarding kepada penerima baharu SARA bagi memberi penerangan mengenai kaedah pembelian menggunakan MyKad di pasar raya dan kedai runcit yang terlibat,” katanya.
Tahun ini, katanya Kerajaan mula menyalurkan SARA pada 15 Januari melalui MyKad secara bulanan kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar di dalam rekod eKasih.
Mulai tahun ini, penyaluran SARA melalui penggunaan MyKad turut diperluaskan ke Sabah dan Sarawak berbanding hanya di negeri-negeri semenanjung Malaysia pada tahun lalu.