Oleh Danial Dzulkifly
KUALA LUMPUR, 5 FEB: Hampir setengah juta penjawat awam Malaysia, atau 445,000 pegawai, akan dilengkapi alat kecerdasan buatan (AI) Google, untuk penyampaian perkhidmatan merentasi agensi.
Dikenali sebagai AI at Work 2.0, penjawat awam akan dibekalkan dengan Google Workspace dikuasakan Gemini, susulan kejayaan program perintis bersama Pejabat AI Kebangsaan Malaysia, Disember lalu.
Menteri Digital Gobind Singh Deo yang merasmikan pelancaran tersebut semalam menekankan kepentingan AI dalam usaha negara meningkatkan perkhidmatan kerajaan melalui pendigitalan.
“Inisiatif seperti ini sangat penting supaya kita boleh memulakan bersama pembangunan pemikiran baharu dan perubahan dalam cara kita bekerja.
[caption id="attachment_685605" align="aligncenter" width="812"] Menteri Digital Gobind Singh Deo berucap dalam majlis
'AI at Work 2.0' di ibu pejabat Google Malaysia, Menara Axiata, Kuala Lumpur pada 5 Februari 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
"Kita perlu menerima hakikat jika terus menggunakan kaedah lama, kita tidak akan dapat melihat hasil yang boleh diberikan teknologi ini kepada dunia,” katanya ketika berucap.
Menurutnya, inisiatif itu sebahagian pelan tindakan teknologi AI kerajaan selama lima tahun untuk meningkatkan perkhidmatan secara keseluruhan, dikenali sebagai Government Technology (GovTech).
“Ia bermaksud kita akan melihat kerajaan tanpa kertas, dikuasakan sepenuhnya AI dan automasi. Inilah teknologi baharu untuk memastikan semua perkhidmatan boleh diakses dalam platform tunggal.
“Ia bukan sahaja cara kita mengakses perkhidmatan kerajaan, tetapi untuk merealisasikan ini, kita tidak boleh hanya membina platform tanpa membangunkan ekosistem di sekelilingnya,” katanya.
Gobind turut menjelaskan kerajaan juga akan meneliti isu kedaulatan data dan cabaran berkaitan kemungkinan bias dalam data kerajaan berkait pembentukan dasar atau mempengaruhi keputusan utama.
Inisiatif itu dibangunkan berdasarkan integrasi antara sistem MyGovUC kerajaan dan Google Workspace, yang akan diperluas dengan ciri AI tambahan seperti Gmail, Docs, Sheets, dan Meet.
[caption id="attachment_685608" align="aligncenter" width="809"] Menteri Digital Gobind Singh Deo (tiga, kiri) , Pengarah Urusan Sektor Awam Asia Pasifik Google Cloud Rahul Sharma (tiga, kanan) bergambar dalam majlis 'AI at Work 2.0' di ibu pejabat Google Malaysia, Menara Axiata, Kuala Lumpur pada 5 Februari 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Keputusan awal program perintis melibatkan 270 pegawai awam adalah memberangsangkan. Berdasarkan maklum balas pengguna, 97 peratus peserta menjimatkan purata 3.25 jam seminggu, manakala 91 peratus melaporkan peningkatan dalam kualiti kerja mereka.
Alat AI yang diperluaskan itu merangkumi ciri seperti video berasaskan AI melalui Google Vids, catatan nota automatik semasa mesyuarat, serta NotebookLM Plus — pembantu penyelidikan yang boleh menganalisis sehingga 250 sumber secara serentak.
Pengarah urusan Google Cloud bagi sektor awam di Asia Pasifik Rahul Sharma berkata kerjasama itu meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam penerapan AI.
“Kerjasama ini menjadikan kerajaan Malaysia sebagai peneraju dalam mentransformasikan cara kerja dan menjadi model contoh bagi kerajaan serta syarikat di rantau ini,” katanya.
Inisiatif itu sebahagian pelaburan lebih besar Google di Malaysia, termasuk komitmen bernilai AS$2 bilion (RM8.8 bilion) untuk pusat data baharu dan wilayah awan, serta program latihan AI seperti Gemilang dan Gemini Academy.