SHAH ALAM, 6 FEB: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuka permohonan subsidi bagi yuran pembelajaran kanak-kanak autisme sehingga akhir bulan ini.
Menurut poster JKM di Facebook, subsidi diberi kepada 30,000 kanak-kanak terpilih yang mengikuti pendidikan di pusat pembelajaran autisme atau terapi bertauliah.
Syarat kelayakan adalah ibu bapa warga tempatan, pendapatan perkapita isi rumah tidak melebihi RM2,000 dan kanak-kanak merupakan kad pemegang orang kurang upaya (OKU) JKM bawah 18 tahun.
Borang permohonan dan garis panduan boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi jkm.gov.my atau di pejabat JKM berhampiran.
Pada pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan mengumumkan bantuan yuran pembelajaran anak autisme dengan dana RM15 juta kepada 30,000 kanak-kanak.
Selain itu, sebanyak 11 Pusat Permata baharu akan dibina bagi melengkapkan setiap negeri dengan pusat didikan anak-anak autistik, termasuklah di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.