ad
AGENDA

MyCC siasat 13 kes kartel tipu bida nilai tender RM2.3 bilion

6 Feb 2025, 6:51 AM
MyCC siasat 13 kes kartel tipu bida nilai tender RM2.3 bilion

SHAH ALAM, 6 FEB: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang aktif menyiasat 13 kes menyentuh dakwaan kartel tipuan bida melibatkan 561 perusahaan dengan tender mencecah RM2.3 bilion.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata bermula tahun lalu, MyCC menggerakkan strategi khusus untuk meningkatkan penguatkuasaan terhadap salah satu cabang aktiviti kartel sejak sekian lama iaitu pakatan tipuan bida (bid rigging).

“Ikhtiar mengekang aktiviti tipuan bida ini penting bagi memastikan ia tidak menggagalkan usaha kerajaan dalam memberikan keutamaan kepada kaedah tender dalam tadbir urus perolehan sejajar usaha memperkukuh tatakelola sistem penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen mengenai keberkesanan MyCC dalam menguatkuasakan Akta Persaingan 2010 di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, katanya MyCC adalah agensi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang bertanggungjawab memantau dan mengekang amalan antipersaingan dalam ekonomi dan pasaran negara dengan penguatkuasaan Akta Persaingan 2010 (Akta 712) bermula 1 Januari 2012.

Katanya, sejak berkuatkuasanya Akta 712, MyCC sebagai sebuah badan bebas dan separa kehakiman di Malaysia, telah menjalankan penyiasatan terhadap 339 perusahaan merangkumi pelbagai industri termasuk pengangkutan, pengilangan, makanan, perkhidmatan, pendidikan, insurans, pertanian dan perolehan awam.

“Hasilnya, MyCC telah mengeluarkan keputusan dapatan pelanggaran di bawah Seksyen 40 Akta tersebut melibatkan 14 kes meliputi 259 perusahaan yang mana daripada jumlah itu, 257 perusahaan didapati terlibat dalam aktiviti kartel dan dua lagi menyalahgunakan kedudukan monopoli.

“Semua keputusan itu menghasilkan penalti kewangan sebanyak RM571.5 juta dengan kes terbesar MyCC adalah berkaitan pakatan kartel oleh lima pengeluar makanan ayam yang melibatkan penalti kewangan sebanyak RM415.5 juta,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.