ad
AGENDA

Menteri: Hanya guru besar boleh rotan murid, bukan di khalayak ramai

5 Feb 2025, 5:04 AM
Menteri: Hanya guru besar boleh rotan murid, bukan di khalayak ramai

SHAH ALAM, 5 FEB: Hukuman rotan terhadap murid tidak boleh dibuat di khalayak ramai atau perhimpunan, serta tidak boleh dikenakan ke atas murid perempuan, tegas menteri pendidikan.

Menurut Fadhlina Sidek, hukuman hanya boleh dibuat guru besar atau guru diberikan kuasa, tertakluk garis panduan ketat Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959, lapor Berita Harian.

Jelasnya, peruntukan perundangan sedia ada tidak memberi kuasa kepada ibu bapa atau orang awam untuk mengambil tindakan fizikal terhadap murid yang melakukan kesalahan, termasuk rotan.

"Hukuman rotan antara bentuk hukuman yang boleh dikenakan terhadap murid yang melakukan kesalahan berat, termasuk kesalahan buli, namun hukuman ini tidak bertujuan mendera.

"Sebaliknya, ia sebagai kaedah pendidikan yang bersifat membimbing dan mendisiplinkan murid supaya mereka dapat memahami implikasi perbuatan mereka," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Jerlun Dr Abd Ghani Ahmad kesediaan kementerian membenarkan waris pelajar yang dibuli merotan pembuli dalam kalangan pelajar pada perhimpunan pagi.

Pada masa sama, Fadhlina berkata pendekatan lebih berkesan dalam menangani isu disiplin murid adalah dengan memperkukuh komunikasi antara pihak sekolah dan ibu bapa.

Beliau menambah pihaknya juga berusaha memastikan pelaksanaan disiplin di sekolah sejajar dasar pendidikan yang menitikberatkan pembentukan akhlak dan integriti.

"Semua pihak diseru untuk memainkan peranan dalam memastikan persekitaran sekolah yang selamat, kondusif dan harmoni bagi melahirkan generasi yang berdisiplin dan bertanggungjawab," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.