SHAH ALAM, 5 FEB: Sebanyak 2.5 tan barangan kitar semula dikumpul Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menerusi program Trash to Cash (sampah kepada tunai) di Taman Melawati, Sabtu lalu.
Menerusi kenyataan, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memaklumkan program yang menawarkan ganjaran bersesuaian menerima sambutan menggalakkan, dihadiri kira-kira 100 penduduk setempat.
Menurut MPAJ, inisiatif tersebut dilaksana bagi memudahkan penduduk menyerahkan barangan kitar semula untuk diurus mengikut tatacara betul demi mengekalkan kelestarian alam sekitar.
"Barangan tersebut termasuk e-sisa (alatan elektrik dan elektronik) dan minyak masak terpakai," katanya menambah program berlangsung mulai 8 pagi hingga 12.30 tengah hari.
[caption id="attachment_685420" align="aligncenter" width="816"] Orang ramai beratur untuk menyerahkan barangan kitar semula sempena program 'Trash to Cash' anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Taman Melawati pada 1 Februari 2025. Foto Facebook Majlis Perbandaran Ampang Jaya - Rasmi[/caption]
Pada masa sama, jelasnya, usaha itu selari elemen ke-11 matlamat pembangunan mampan (SDGs) untuk
membentuk bandar dan masyarakat mampan ke arah menjadikan Ampang Jaya bandar berdaya huni.
MPAJ menambah program itu akan diteruskan di lebih banyak kawasan meliputi semua 24 Zon Jawatankuasa Penduduk (JKP) bawah pentadbiran MPAJ.
Program akan diteruskan di Pejabat Ketua Kampung, Kampung Pasir Hulu Kelang pada 22
Februari (Sabtu) dan Dewan Taman Putra, Ampang pada 23 Februari (Ahad).