SHAH ALAM, 5 FEB: Penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat Selangor memperkukuh ukhuwah islamiah dalam kalangan masyarakat, kata Dato’ Menteri Besar.
Berucap dalam perasmian malam tadi, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan program itu juga menyaksikan perpaduan dan kerjasama erat dalam usaha menjunjung kalimah Allah SWT.
Menurutnya, ia memberi dampak signifikan kepada umat Islam negeri ini, selain membentuk masyarakat berilmu dan berakhlak kerana al-Quran sumber kebijaksanaan yang tiada bandingan.
“Dengan memahami dan mengamalkan isi kandungannya, kita dapat melahirkan individu yang cemerlang sekali gus dapat membina sebuah negeri yang maju dan sejahtera.
[caption id="attachment_685406" align="aligncenter" width="740"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Perasmian Tilawah dan Hafazan al-Quran Selangor di Dewan Syarahan & Muzakarah Islam, Masjid Negeri pada 4 Februari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Ia juga memberi peluang kepada qari, qariah, hafiz, dan hafizah untuk terus mengasah bakat dan kemahiran agar dapat membawa nama negeri ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Selangor Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.
Dalam pada itu, Mohd Shahzihan berkata Akademi Literasi Al-Quran Selangor yang ditubuhkan pada 2022 menjadi platform peserta memantapkan kualiti dan seni melagukan bacaan al-Quran.
“Sejak ditubuhkan, sebanyak RM1 juta diperuntuk setiap tahun bagi membuktikan komitmen negeri memperkukuh pendidikan Islam dan pemangkin melahirkan generasi celik al-Quran,” jelasnya.
Majlis kali ini menyaksikan seramai 17 peserta tilawah (10 qari dan 7 qariah) dan 35 peserta hafazan memperlihat bakat dalam bidang seni al-Quran dan hafalan.
Peserta yang berjaya bakal mewakili Selangor untuk bertanding dalam peringkat kebangsaan di Perlis, yang dijadual berlangsung pada 24 April hingga 3 Mei depan.