ad
ADN

Speaker: Sasaran 2025 direncana, kembali keutuhan Dewan Negeri Selangor

4 Feb 2025, 8:45 AM
Speaker: Sasaran 2025 direncana, kembali keutuhan Dewan Negeri Selangor
Speaker: Sasaran 2025 direncana, kembali keutuhan Dewan Negeri Selangor

SHAH ALAM, 4 FEB: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) menyasarkan beberapa perkara tahun ini bagi mengembalikan keutuhan dan kemandirian dewan yang mulia itu.

Lau Weng San berharap Parlimen meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen sekali gus membuka jalan kepada DNS untuk berbuat perkara sama terhadap RUU Perkhidmatan Dewan Negeri.

"RUU ini telah lama tertangguh sejak tahun 2010. Kita akan terus berbincang dengan semua pemegang taruh agar RUU ini dapat dibentangkan dan diluluskan secepat mungkin.

"Selain itu, jurnal DNS iaitu DEWAN yang pernah diterbit ketika era Dato' Teng Chang Khim selaku speaker pada 2010 juga akan dikembalikan semula selepas ia dihentikan sejak 2013," katanya menerusi kenyataan.

Dalam pada itu, Weng San berkata pihaknya juga akan menerbitkan lebih banyak bahan bercetak pelbagai bahasa untuk memperkenal sejarah, fungsi dan peranan DNS kepada pengunjung.

"Saya berharap rakyat akan terus memberi perhatian terhadap perkembangan dan aktiviti DNS iaitu Dewan untuk rakyat. Ahlinya dalam kalangan rakyat, dipilih rakyat dan isu yang dibahaskan juga adalah isu rakyat," katanya.

Berpengalaman sebagai wakil rakyat selama tiga penggal dan tidak terikat dengan sebarang kawasan pilihan raya, Weng San dilantik speaker DNS pada 19 September 2023.

Tiada sebarang tempoh bulan madu dan percubaan, beliau mempunyai misi mahu memimpin DNS ke arah kecemerlangan, meneruskan legasi pencapaian speaker terdahulu dan memastikan DNS terus dikenali sebagai sebuah badan legislatif unggul serta berkualiti.

Berikut pencapaian DNS 2024:

- Memperkasa peranan Ahli Dewan Negeri (ADN) Wanita

- Menambah masa berucap ADN

- Tafsiran Enakmen Anti Lompat Parti

- Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT)

- Hubungan Antarabangsa

- Memberdaya wanita, belia dan pelajar sekolah

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.