SHAH ALAM, 4 FEB: Majalah pelancongan terkenal, Travel Weekly Asia menyifatkan Selangor sedang berkembang sebagai destinasi mesra Muslim menerusi penawaran gaya hidup dan kebudayaannya.
Menurut majalah berkenaan, kemudahan infrastruktur mesra Muslim yang lengkap mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai pilihan utama dan daya tarikan kepada pelancong khususnya beragama Islam.
“Pusat beli-belah seperti Central i-City dan 1 Utama menampilkan zon fesyen sederhana khusus, memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi pakaian sederhana, yang selalunya sukar ditemui di pasaran Barat.
“Ini menjadikan Selangor bukan sahaja hab runcit, tetapi destinasi yang lengkap untuk perjalanan dengan pengalaman menarik,” menurut penulisan yang disiarkan secara dalam talian, semalam.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling mahu memberi penekanan terhadap pembangunan sosial khususnya dalam menyedia program latihan kepada pemandu pelancong.
Jelasnya, aspek tersebut amat penting bagi memastikan nilai sejarah dan warisan dapat dikongsi bersama pelancong sekali gus menjana ekonomi masyarakat setempat.
“Inisiatif ini bukan sahaja mengukuhkan rantaian nilai pelancongan tetapi juga mewujudkan peluang ekonomi tempatan,” katanya ketika ditemui Travel Weekly Asia selepas menghadiri Forum Pelancongan Asean 2025 di Johor, baru-baru ini.
Kerajaan Selangor menyasarkan kehadiran lapan juta pelancong tempatan dan luar negara sempena Tahun Melawat Selangor 2025 dengan potensi nilai transaksi RM11.7 bilion.