SHAH ALAM, 4 FEB: Festival Ramadan Selangor (Festira) tahun ini dijangka menarik kehadiran lebih ramai pengunjung sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
Jurucakap PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) memberitahu sebanyak 399 rerurai jualan ditawarkan dengan penglibatan 1,013 usahawan di empat lokasi.
Beliau berkata acara tersebut akan bermula 11 Februari di Kompleks PKNS dan SACC Shah Alam, manakala 15 Februari di Kompleks PKNS Bangi dan Plaza Alam Sentral Shah Alam, sehingga 30 Mac.
“Tahun lalu Festira berjaya tarik kira-kira 3 juta pengunjung dan tahun ini dijangka lebih ramai lagi akan datang sempena Tahun Melawat Selangor.
“Tahun ini juga kita membawa sedikit kelainan dan konsep yang agak berbeza dimana kita akan banyak mainkan lampu neon di lokasi jualan,” katanya kepada Media Selangor.
Festival perayaan tahunan itu dianjur bertujuan menyokong agenda Kerajaan Negeri dalam usaha membantu peniaga kecil menjana pendapatan.