SHAH ALAM, 3 FEB: Seorang penunggang motosikal patah bahu kiri akibat melanggar kenderaan pacuan empat roda Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di persimpangan lampu isyarat di Meru, Klang, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara Supt Mohd Rahimi Zainol berkata dalam kejadian pada 8.38 malam itu kenderaan APM berkenaan sedang menuju ke arah Shah Alam bagi tugas menyelamat setelah mendapat panggilan kecemasan dan telah memasang lampu mata arah (beacon light) dan siren amaran.
"Apabila sampai di lampu isyarat, sebuah motosikal ditunggang lelaki warga tempatan telah melanggar bahagian sisi kiri belakang kenderaan pacuan empat roda itu.
"Penunggang motosikal itu dalam perjalanan pulang ke rumah keluarganya di Meru," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata penunggang motosikal berusia 25 tahun itu menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dengan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebelum ini, tular rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang memaparkan kenderaan dengan logo APM melintasi persimpangan lampu isyarat yang sedang berwarna merah sebelum dilanggar oleh sebuah motosikal.
- BERNAMA