ad
AGENDA

Rakyat mahu gaji minimum dikaji berkala, tangani kos hidup tinggi

3 Feb 2025, 10:24 AM
Rakyat mahu gaji minimum dikaji berkala, tangani kos hidup tinggi
Rakyat mahu gaji minimum dikaji berkala, tangani kos hidup tinggi
Rakyat mahu gaji minimum dikaji berkala, tangani kos hidup tinggi
Rakyat mahu gaji minimum dikaji berkala, tangani kos hidup tinggi

SHAH ALAM, 3 FEB: Pelaksanaan gaji minimum RM1,700 berkuat kuasa 1 Februari disambut baik rakyat, namun mereka mahu kadar tersebut dikaji berkala mengikut situasi ekonomi semasa.

Pengurus perniagaan Andrew Anthony, 39, berkata kerajaan perlu menitikberatkan isu kos sara hidup yang semakin tinggi dan mencabar, termasuk peningkatan harga barangan di pasaran.

“Kenaikan kadar gaji minimum inisiatif yang bagus, sepatutnya sudah lama dilaksana dan memerlukan kajian secara berkala supaya kekal relevan dengan keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini.

“Bagi syarikat saya, ia tidak memberi kesan sebab gaji pendahuluan yang ditawarkan lebih daripada gaji minimum ditetapkan kerajaan,” katanya yang berharap syarikat swasta mengambil langkah sama.

[caption id="attachment_685207" align="alignleft" width="319"] Adnan Abd Kadir, 60[/caption]

Pesara Adnan Abd Kadir, 60, pula berpendapat kadar gaji minimum yang dilaksanakan ketika ini sebenarnya masih tidak mencukupi, apatah lagi kos sara hidup semakin meningkat.

Dia turut menggesa kerajaan mengkaji semula harga barangan untuk mengurangkan beban rakyat, terutama mereka yang menetap dan bekerja di sekitar Lembah Klang.

“Sekiranya menaikkan jumlah gaji tetapi harga barang pun naik, saya rasa tiada beza. Tambah pula hidup di Lembah Klang, ia memang sangat mencabar dan boleh mendatangkan masalah sosial,” katanya.

[caption id="attachment_685206" align="alignright" width="264"] Robert Liew, 35,[/caption]

Jurujual kenderaan Robert Liew, 35, berpandangan kadar gaji minimum bersesuaian antara RM2,000 hingga RM2,500 jika kerajaan serius membasmi kemiskinan dan memperbaiki kualiti hidup rakyat.

“Sekarang semua benda mahal, gaji bawah RM2,000 tidak cukup, lebih-lebih lagi jika berkeluarga ada lebih daripada seorang anak. Kerajaan perlu kaji lagi jumlah kadar gaji minimum,” katanya.

Sementara itu, pengawal keselamatan Nilam Bujang, 50, menyambut baik inisiatif kerajaan menaikkan kadar gaji minimum, yang disifatkan membantu meringankan beban rakyat.

“Dengan gaji sebelum ini sekadar cukup-cukup makan, tetapi apabila ada kenaikan memang membantu terutama saya ada dua anak yang masih bersekolah,” kata ibu tunggal itu.

[caption id="attachment_685209" align="alignleft" width="289"] Nilam Bujang, 50,[/caption]

Seramai 4.37 juta pekerja akan menerima gaji minimum RM1,700 sebulan berbanding RM1,500 sebelum ini berikutan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu, berkuat kuasa secara rasmi pada Sabtu.

Perintah itu terpakai kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih dan majikan yang menjalankan aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan.

Bagi majikan dengan kurang daripada lima pekerja, pelaksanaan gaji minimum bermula pada 1 Ogos depan untuk memberi mereka ruang menyesuaikan struktur gaji serta operasi syarikat.

Oktober tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kenaikan kadar gaji minimum itu bagi menstruktur ekonomi dan membolehkan rakyat meraih pendapatan selesa.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.