ad
AGENSI

LUAS: Tiada kesan minyak, bau tidak normal di Sungai Bernam

3 Feb 2025, 9:36 AM
LUAS: Tiada kesan minyak, bau tidak normal di Sungai Bernam

SHAH ALAM, 3 FEB: Tiada lagi kesan minyak dan bau abnormal dikesan di Sungai Bernam di Kampung Serigala, Behrang susulan insiden sebuah lori terbabas ke dalam sungai tersebut semalam.

EXCO alam sekitar memaklumkan pemantauan lanjut Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) itu selepas tindakan pencegahan awal dengan meletakkan oil boom di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Bernam River Headwork (BRH).

Jelas Jamaliah Jamaluddin, LUAS juga memantau rapi kerja pengalihan kenderaan tersebut dan pembaikan tebing sungai yang siap sepenuhnya lewat petang semalam.

“Selain itu, semakan lanjut bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) juga mendapati aliran air sungai di muka sauk LRA Sungai Selisik normal.

“Pemantauan statik LUAS di Sungai Bernam di lokasi hulu daripada muka sauk LRA BRH sepanjang malam semalam sehingga jam 10 pagi tadi juga mendapati keadaan sungai adalah baik dan normal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jamaliah menjelaskan LUAS juga membuka kertas siasatan di bawah Enakmen LUAS 1999 bagi tindakan lanjut penguatkuasaan terhadap pihak terlibat.

Semalam, LUAS memaklumkan pihaknya memantau rapi kualiti air Sungai Bernam susulan insiden lori terbabas yang menyebabkan tumpahan minyak dikesan sepanjang 100 meter aliran ke dalam sungai terbabit.

Jelas agensi itu, insiden terbabit berpotensi memberi kesan kepada LRA Sungai Selisik pada jarak 3.2 kilometer (KM) dan LRA BRH pada jarak 31.5km.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.