SHAH ALAM, 3 FEB: Pemimpin Bersatu Badrul Hisham Shaharin memohon maaf kepada Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) berhubung kenyataan berunsur fitnah projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).
LLSB memaklumkan Badrul atau dikenali Chegubard memohon maaf secara terbuka di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam minggu lalu, sebahagian daripada penyelesaian saman syarikat itu.
“Kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa berdasarkan cadangan penyelesaian luar mahkamah oleh Chegubard, pihak-pihak dalam saman tersebut mencapai penyelesaian secara baik.
“Chegubard mengakui tuduhan tersebut tidak berasas dan menyatakan kekesalan terhadap kesan kenyataan serta tuduhan fitnah beliau yang menjejaskan reputasi serta menyebabkan tekanan dan kerugian kepada LLSB,” katanya dalam kenyataan.
Menurut anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) itu, Chegubard menarik balik kenyataan di media sosial, dengan menyatakan ia dibuat tanpa niat jahat dan "maklumat salah serta tidak lengkap."
Beliau juga berjanji untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan palsu atau berunsur fitnah lagi berhubung perkara tersebut, sama ada terhadap LLSB mahupun projek SMG.
"Permohonan maaf ini dibuat tanpa sebarang syarat sebagai satu pengakuan terhadap tanggungjawabnya serta komitmen untuk membetulkan kesilapan yang telah dilakukan.
"LLSB mengalu-alukan penyelesaian isu ini dan melihatnya sebagai satu perkembangan positif yang menegaskan dedikasi kami terhadap ketelusan dan akauntabiliti dalam semua operasi, serta komitmen kami dalam menegakkan prinsip-prinsip ini," kata syarikat itu.
Pada Ogos 2023, Chegubard dilapor menuduh LLSB memperoleh projek pembersihan sungai tanpa proses tender terbuka, selain mendakwa syarikat itu dimiliki seorang taikun perniagaan.