KUALA LUMPUR, 3 FEB: Kerajaan memberi jaminan akan mengambil serius pandangan daripada semua sektor bagi memacu pertumbuhan yang lebih baik untuk Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu juga selaras dengan tumpuan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang penting di rantau ini dan pelaburan dalam pelbagai bidang termasuk tenaga dan digital.
“Pemimpin-pemimpin Kabinet umpamanya mesti mengambil sikap terbuka, keluar daripada pemikiran kepompong lama, apa sahaja yang boleh menjadikan Malaysia negara maju, tidak ketinggalan, kita mesti cari jalan.
“Seperti saya sering tekankan, kita tidak punyai semua jawapan, maka kita harus manfaatkan golongan akademik dan pakar-pakar,” katanya pada Majlis Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM), di sini hari ini.
Turut hadir menteri dan timbalan menteri serta Presiden ACCCIM Datuk Ng Yih Pyng.
Pada masa sama, Perdana Menteri menyeru dewan perniagaan di negara ini untuk bekerja sebagai satu pasukan bagi meningkatkan kemajuan Malaysia.
Beliau berkata peranan dewan perniagaan yang disertai peniaga dan pengusaha adalah sangat penting untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih segar kepada negara.
“Saya sebut keperluan gabungan dewan-dewan perniagaan di Malaysia - Cina, Melayu, India, Sabah dan Sarawak, dapatkan pandangan mereka bagaimana sebagai satu pasukan, bila bekerja cari jalan untuk tingkatkan lagi.
“Tentunya kita tidak boleh tinggalkan miskin, miskin bandar, petani, nelayan, penternak, pekebun tetapi untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih segar, peranan peniaga, pengusaha dan dewan-dewan perniagaan sangat penting,” katanya.
-BERNAMA