Oleh Dewi Abdul Rahman
SHAH ALAM, 3 FEB: Kerajaan dicadang memasang kamera sistem penguatkuasaan automatik (AES) di jalan persekutuan, negeri dan kampung kerana kadar kemalangan di kawasan itu lebih tinggi berbanding lebuh raya.
Aktivis keselamatan jalan raya Shahrim Tamrin berkata selain mendisiplinkan pengguna jalan raya, AES terbukti berkesan mengurangkan kemalangan dalam radius tiga kilometer dari kedudukan kamera dipasang.
[caption id="attachment_685157" align="alignleft" width="273"] Aktivis keselamatan jalan raya Shahrim Tamrin.[/caption]
"Kajian Miros (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya) menunjukkan AES berjaya mendisiplinkan ramai pengguna. Malah jumlah kemalangan juga dapat dikurangkan sekitar radius tiga kilometer di mana terletaknya AES.
"Saya berpendapat AES harus diperluaskan. Data kemalangan melibatkan kawasan luar bandar atau kampung lebih tinggi. Kematian lebih kerap berlaku di jalan persekutuan atau negeri, bukannya lebuh raya, " katanya ketika diminta mengulas mengenai jumlah kemalangan yang tinggi saban tahun.
Shahrim berkata kamera pemantau itu sememangnya memberi kesan psikologi kepada pengguna jalan raya supaya dalam keadaan berjaga-jaga selain membentuk sikap berhemah sebelum tiba ke lokasi AES.
"Kaedah seperti ini telah banyak digunakan di negara maju untuk memberi rasa takut atau membentuk satu pemikiran supaya mematuhi peraturan jalan raya," katanya.
Berdasarkan statistik di laman web Kementerian Pengangkutan Malaysia, kira-kira 1.35 juta orang maut dalam kemalangan jalan raya setiap tahun.
Dengan purata mangsa terbunuh dalam kemalangan yang tinggi di Malaysia, isu tersebut merupakan cabaran kesihatan awam yang serius bagi negara.