ad
ADN

Wakil rakyat tumpu selesai isu bah, laksana pelan mitigasi di lokasi kritikal

3 Feb 2025, 6:23 AM
Wakil rakyat tumpu selesai isu bah, laksana pelan mitigasi di lokasi kritikal

KLANG, 3 FEB: Wakil rakyat Bandar Baru Klang menumpukan usaha menyelesaikan isu banjir di kawasan berkenaan termasuk melaksanakan pelan mitigasi bersama Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Dr Quah Perng Fei menjelaskan inisiatif itu termasuk membina kolam tadahan dan pendalaman parit melibatkan kawasan kritikal seperti Bulatan Berkeley, Taman Sia Hong dan Bandar Bukit Raja.

“Kolam tadahan siap dibina MBDK di Bulatan Berkeley, manakala di Taman Sia Hong (pula) kerja pembinaan mencapai 40 peratus, yang dijangka siap pada akhir tahun.

“MBDK dengan kerjasama Sime Darby (turut) membuat kerja pendalaman sistem perparitan di Bandar Bukit Raja dengan pemasangan sistem air mudah alih,” katanya.

Ditemui pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran pusat khidmatnya semalam, beliau berharap pelan berkenaan lancar, sekali gus menyelesaikan isu yang sering membelenggu penduduk.

Pada masa sama, Dr Quah memohon penduduk supaya bersabar berikutan projek mitigasi berkenaan mengambil tempoh yang lama, selain melibatkan kos tinggi dan melalui proses tender.

“MBDK juga banyak membantu dan EXCO Infrastruktur (Ir Izham Hashim) serta EXCO Kerajaan Tempatan (Dato’ Ng Suee Lim) sentiasa berusaha mencari jalan terbaik untuk atasi isu bah ini,” jelasnya.

 

 

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.