ad
AGENDA

Agong ingatkan Parlimen tempat bahas agenda negara, bukan tabur fitnah

3 Feb 2025, 4:30 AM
Agong ingatkan Parlimen tempat bahas agenda negara, bukan tabur fitnah

SHAH ALAM, 3 FEB: Yang di-Pertuan Agong menegaskan Parlimen sebagai medan membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara, bukan bertegang urat, memaki hamun, atau menabur fitnah.

Dalam istiadat pembukaan penggal keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat hari ini, Sultan Ibrahim bertitah wakil rakyat juga perlu menjadi benteng perpaduan, bukan ejen perpecahan rakyat.

“Justeru, hentikan tindakan bermain politik atas setiap isu dan jangan hanya mementingkan parti atau kelompok sendiri sahaja,” titah Baginda.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim memuji ahli parlimen yang berubah dan menunjukkan sikap yang lebih sopan ketika sesi perbahasan dalam persidangan Parlimen tahun lalu.

Bagaimanapun, Baginda bertitah masih ada segelintir wakil rakyat sukar membuang tabiat lama, selain menasihatkan kelompok berkenaan sedar dan menjaga tingkah laku masing-masing.

"Saya juga menghargai peranan yang dimainkan semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik kerana ia menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan sosial negara," titah Baginda.

Sementara itu, Sultan Ibrahim menyambut baik pendekatan subsidi bersasar yang berupaya mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan, namun menggesa ia diagihkan kepada kumpulan yang benar-benar layak.

"Kerajaan hendaklah menentukan agar prestasi baik ini membawa nikmat kemakmuran kepada seluruh rakyat dan bukan hanya memberi keuntungan kepada kumpulan tertentu sahaja," titah Baginda.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.