SHAH ALAM, 3 FEB: Setiausaha Kerajaan Selangor baharu Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin memiliki pengalaman luas dalam bidang pentadbiran.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri memaklumkan Ahmad Fadzli, 53, memulakan perkhidmatan awam sebagai pegawai tadbir dan diplomatik pada 1996.
Lulusan Ijazah Kedoktoran Pengurusan Perniagaan Universiti Sains Malaysia (USM) itu memegang jawatan Ketua Kluster Pengurusan dan Inovasi (INTAN) pada 2019 sebelum dilantik sebagai yang dipertua Majlis Perbandaran Klang pada 2020.
Beliau seterusnya menjadi Pegawai Kewangan Negeri Selangor pada 16 Disember 2021.
Selain itu Ahmad Fadzli juga berpengalaman sebagai penolong pegawai daerah dan ketua penolong pegawai daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah selain berkhidmat di Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Ahmad Fadzli menggantikan Dato’ Haris Kasim menggalas tugas bermula hari ini. Majlis menandatangani nota serah tugas pada Jumaat lalu disaksikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Sri Amirudin Shari.
Haris memegang jawatan berkenaan bermula 1 November 2021 hingga 31 Januari 2025.