Oleh Aida Mohamed Nyan
KUALA LUMPUR, 3 FEB: Novel Perincian terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menjadi simbol keganasan yang berlaku terhadap wanita dan kanak-kanak Palestin dari dahulu sehingga kini.
Pengarang Kumpulan Media Selangor Fathi Aris Omar berkata kejadian yang diceritakan dalam buku terjemahan asal 'Tafsil Thanawi' karya Adania Shibli mencerminkan kejadian sebenar yang berlaku di negara tersebut.
"Saya sebak baca cerita ini. Ia cerita tentang orang tak bersalah yang menjadi korban, jika reflek perkembangan Palestin sekarang, sama".
"Ada bahagian menceritakan tentang gadis Badwi itu ditelanjang, dimandikan secara terbuka depan tentera-tentera. Ini diceritakan dalam novel lebih dramatik," katanya dalam sesi borak buku sempena Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur 2025 (KLAB 2025) di Galeri Pameran Pasar Seni, Kuala Lumpur pada Ahad.
[caption id="attachment_685056" align="alignleft" width="408"] Pengarang Kumpulan Media Selangor Fathi Aris Omar ketika sesi borak buku berjudul 'Perincian' di Galeri Pameran di Pasar Seni, Kuala Lumpur pada 2 Februari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Tambah Fathi, naskhah tu bukan sahaja menceritakan tentang gadis Badwi yang malang, namun banyak pengajaran yang dapat diambil selain mengajak pembaca keluar dari paradigma Palestin hanya terkait Aqsa dan Islam.
"Perang yang terjadi sekarang adalah sebab kegilaan kuasa, jika kita tidak ambil pengajaran dan cari penyelesaian ia akan berlarutan." katanya.
Sementara itu, penterjemah Perincian, Al Mustaqeem M Radhi berkata gaya penceritaan yang digunakan penulis seolah-olah menjadi kamera kepada pembaca.
"Penulis ceritakan secara terperinci kejadian yang menimpa dan ada momen yang sengaja diulang-ulang untuk memberi mesej kepada pembaca bahawa kejadian tersebut kerap berlaku kepada rakyat Palestin, " katanya.
[caption id="attachment_685057" align="alignright" width="408"] Penterjemah buku Perincian, Al-Mustaqeem M Radhi ketika sesi borak buku di Galeri Pameran di Pasar Seni, Kuala Lumpur pada 2 Februari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Ujarnya, karya yang menceritakan kejadian pada Ogos 1949 itu juga mengajak pembaca untuk mengkaji tentang Palestin dan Israel.
"Jangan baca buku ini dengan emosi, tapi baca dengan penuh maklumat supaya kita dapat lebih selami dan ambil pengajaran daripadanya," katanya.
Novel Perincian muncul karya terjemahan IBDE paling laris selama dua minggu berturut-turut pada Januari mengatasi jualan Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal.
Menceritakan tentang kekejaman dan penindasan terhadap rakyat Palestin, ia terbahagi kepada dua bahagian berdasarkan kisah benar yang menyayat hati.
Naskhah tersebut boleh didapati di kedai Rencana di Sri Damansara, Petaling Jaya atau melalui www.bukuibde.com ,Tiktok, Shopee dan Lazada: Buku IBDE.
[caption id="attachment_685061" align="aligncenter" width="701"] Novel Perincian terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE). Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]