SHAH ALAM, 3 FEB: Dato’ Menteri Besar sudah menerima laporan bertulis berhubung insiden pelampung gelongsor air kaca jatuh di taman tema Seksyen 7, dekat sini.
Bagaimanapun Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau mahu mendapatkan laporan penuh seterusnya mahu berjumpa dengan Majlis Bandaraya Shah Alam serta pengusaha taman berkenaan.
“Saya akan panggil pihak mereka (pengusaha) atau majlis selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Rabu ini.
“Saya sudah baca laporan bertulis tapi nak dapatkan laporan seterusnya. Minta mereka (pengusaha) segera patuh kepada ketetapan pihak berkuasa seperti MBSA,” katanya.
Beliau ditemui ketika menghadiri majlie amanat Dato’ Menteri Besar bersama jawatan kuasa pembangunan dan keselamatan (JPKK) kampung tradisi malam ini.
Sebelum ini tular video berdurasi 18 saat berhubung insiden pelampung permainan gelongsor air kaca setinggi 60 meter dan sepanjang 600 meter di Menara SkyCity, i-City dipercayai terjatuh dan menimpa pengunjung.
Kejadian itu menimbulkan kebimbangan orang ramai mengenai keselamatan permainan di taman tema berkenaan.
Susulan kejadian, MBSA memaklumkan pihaknya mengeluarkan lapan notis arahan terhadap taman tema di Seksyen 7 sejak 14 November tahun lalu, namun i-City gagal mematuhi amaran itu sehingga notis terbaharu dikeluarkan lagi kelmarin.