ad
AGENDA

APM pindahkan 14 calon SPM dari empat kampung terjejas bah

2 Feb 2025, 2:10 PM
APM pindahkan 14 calon SPM dari empat kampung terjejas bah

TONGOD, 2 FEB: Sejumlah 14 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada empat kampung yang terjejas banjir telah dipindahkan oleh Agensi Pertahanan Awam (APM) ke asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Tongod hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Tongod Left Muda (PA) Richie Hezron Pudil berkata operasi memindahkan kesemua calon yang terdiri daripada tiga pelajar lelaki dan 11 perempuan itu dijalankan pada 8.49 pagi ini.

Beliau berkata pelajar terlibat ialah enam dari Kampung Keramuak, lima dari Kampung Kuala Keramuak, dua (Kampung Kenang-Kenangan) dan seorang (Kampung Tenaga Baru) yang akan menduduki peperiksaan SPM esok.

"Penduduk kampung mengadu kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kuamut mengenai situasi banjir di kampung terbabit termasuk berkaitan calon SPM berkenaan.

"Susulan itu, UPPM memohon bantuan APM bagi pemindahan calon peperiksaan terbabit," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dua bot digunakan bersama dua pegawai dan anggota APM terlibat dalam operasi pemindahan pelajar berkenaan.

Sementara itu, Richie Hezron berkata tinjauan APM mendapati air mula surut di kawasan yang terjejas banjir.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.