KLANG, 2 FEB: Rumah terbuka anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang di sini hari ini mengeratkan lagi perpaduan antara pemimpin dan rakyat berbilang bangsa.
Wakil rakyatnya Dr Quah Perng Fei berkata majlis itu memberi peluang kepada masyarakat bertemu dengan pemimpin mereka sekali gus mengemukakan aduan setempat.
“Rumah terbuka ini menghimpun beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN), ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang dan pasukan pejabat DUN Bandar Baru Klang.
“Selain menikmati pelbagai juadah makanan istimewa mereka juga boleh berinteraksi jika ada sebarang cadangan ingin dilontarkan kepada semua pemimpin yang hadir,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan tersebut.
[caption id="attachment_685027" align="alignnone" width="819"] Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Baru Klang Dr Quah Perng Fei (tujuh dari kiri) menggaul Yee Sang sebagai simbolik sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina bersama EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim (enam dari kiri), Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain (lima dari kiri) bersama barisan Ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang pada 2 Februari 2025. Foto FITRI HAZIM HAZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]
Hadir sama EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim, ADN Bukit Gasing R Rajiv, ADN Kota Kemuning S Preakas dan Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain.
Lebih 2,000 pengunjung pelbagai kaum hadir memeriahkan sambutan perayaan itu yang turut dihiburkan dengan persembahan tarian singa dan muzik orkestra Cina.
Pengunjung disajikan dengan lebih 20 hidangan tempatan seperti Yee Sang, nyonya kuih, rojak, cendol, popia, asam laksa, teh herba, kuey teow goreng dan mee kari.