SHAH ALAM, 2 FEB: Novel kisah kesengsaraan wanita Palestin yang dizalimi tentera Israel terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) terlaris dua hari berturut-turut di Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur 2025 (KLAB 2025).
Menurut syarikat penerbitan itu, naskhah berjudul Perincian tersebut mengatasi jualan buku 40 Hadis Imam Nawawi pada 31 Januari dan Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal, semalam.
"Buku paling panas di KLAB 2025, mengalahkan buku Muhammad! Perincian bukan sekadar novel menyayat hati sekitar tragedi di Palestin tetapi suara terpendam yang perlu didengari," kata IBDE di Facebook.
[caption id="attachment_681180" align="aligncenter" width="584"] Novel Perincian terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE). Foto Facebook Buku IBDE[/caption]
Sehubungan itu, IBDE mengajak orang ramai menyertai sesi borak buku Perincian bersama penterjemah, Al-Mustaqeem M Radhi yang akan membedah karya asal penulisan Adania Shibli mengenai kekejaman penjajah berdasarkan kisah benar berlaku di Palestin, hari ini.
Al-Mustaqeem yang menerbitkan lebih 30 buku terjemahan dijadual membicarakan Perincian bersama Pengarang Kumpulan Media Selangor Fathi Aris Omar di Galeri Pameran di Pasar Seni, Kuala Lumpur jam 2 hingga 3 petang.
Selain tiga buku berkenaan, naskhah Kisah Hidup Imam Al-Ghazali, Sejarah Selangor 1766–1939, Republik Marga Satwa, Ramuan Kebahagiaan, Kisah Hidup Imam Al-Ghazali dan Surat Kepada Penyair Muda turut mendapat sambutan.