ad
AGENDA

13 ekor lembu, barangan runcit seludup bernilai lebih RM700,000 dirampas

1 Feb 2025, 9:55 AM
13 ekor lembu, barangan runcit seludup bernilai lebih RM700,000 dirampas

RANTAU PANJANG, 1 FEB: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) menumpaskan kegiatan penyeludupan lembu dan barangan runcit dengan nilai rampasan keseluruhan RM706,750 dalam dua serbuan berasingan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata pihaknya merampas pelbagai jenis barangan runcit seludup bernilai RM480,000 di sekatan jalan raya (SJR) Simpang Empat Salam, di sini, jam 2 petang semalam.

Katanya, ketika kejadian anggota bertugas menahan sebuah treler dipandu lelaki berusia 53 tahun, dalam keadaan mencurigakan sebelum membuat pemeriksaan keseluruhan di dalam treler terbabit.

"Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat beberapa kotak mengandungi barangan seludup dipercayai dari Thailand. Mereka menggunakan modus operandi dengan menyorok kotak berkenaan di bahagian tengah di antara muatan yang mempunyai permit yang sah.

"Anggota kemudian menahan pemandu serta merampas treler dan barangan runcit untuk dibawa ke Komtak PGA Taman Bakti, di sini sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983," katanya dalam kenyataan media, hari ini, lapor Berita Harian.

Nik Ros Azhan berkata, manakala bagi rampasan lembu seludup pula pihaknya merampas 13 ekor lembu seberat 8,450 kilogram (kg) bernilai RM226,750 di hadapan sebuah premis di Kampung Bakong, Pasir Mas, jam 2.35 pagi, kelmarin.

"Anggota menahan lori dipandu suspek lelaki berusia 47 tahun, sebelum membuat pemeriksaan dan mendapati kesemua ternakan terbabit tidak mempunyai dokumen sah selain dipercayai dibawa seludup melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok.

"Suspek disyaki menjadi penghantar untuk menyeludup lembu berkenaan untuk pasaran tempatan. Anggota kemudian menahan suspek dan merampas lori serta lembu untuk tujuan siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953," katanya.

Menurutnya, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan daripada terus berleluasa di sempadan Malaysia -Thailand.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.