SHAH ALAM, 1 FEB: Festival Turath Islami Selangor yang dianjur sejak 2023 bagi menyuburkan syiar Islam akan diteruskan pada Julai tahun ini dalam skala lebih besar, maklum Dato’ Menteri Besar.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata program tersebut akan menghimpunkan tokoh agama tempatan dan luar negara antaranya dari India, Pakistan dan Maghribi termasuk bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab.
“Insya-Allah kita akan laksanakan festival turath Islami tahun ini. Selain Masjid Negeri, kita akan libatkan Kompleks Seni Islam antarabangsa Selangor untuk pameran. Nantikan pengumuman saya pada 17 Ramadan nanti. Sekarang tidak boleh (umum perincian) lagi sebab belum sempurna.
“Tapi saiz penganjuran lebih besar. Tahun ini insya-Allah kita akan lebarkan sikit. Akan ada (tokoh agama) India, Pakistan dan Maghribi. Prof Dr Ali Jum’ah juga akan datang bersama ulama serantau lain. Nanti saya umumkan perinciannya,” katanya.
Beliau berucap menyempurnakan Majlis Penutup Festival Antarabangsa Seni Al-Quran Restu 2025 dan Pelancaran Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Berteraskan Al-Quran peringkat Selangor di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor di sini, hari ini.
Festival turath tahun lalu yang dianjurkan antara 26 Mei hingga 2 Jun melibatkan tokoh agama tempatan dan ulama terkenal luar negara.
Mereka antaranya Prof Dr Ali Jum’ah, Pengarah Pusat Kajian Islam Quantum Akhyar Institut Dr Adi Hidayat dan Mustasyar Pengurus Besar Nahdatul Ulama Prof Dr Kiai Aqil Siradj serta Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam Pattani Baba Haji Ghazali Ahmad al-Fathoni.
Sebelum ini, Amirudin berkata pentadbirannya berusaha memastikan program keagamaan dan pembangunan fizikal berdiri seiring bagi mencapai status negeri maju.
Dato’ Menteri Besar berkata dalam mendepani krisis kemodenan yang pelbagai, adalah wajar untuk kembali kepada turath yang menjulang wahyu sebagai rujukan utama sekali gus menguatkan teras dan pasak kehidupan umat Islam di negeri ini.
Belanjawan Selangor 2025 juga memperuntukan RM1 juta kepada kepada Akademi Literasi al-Quran Selangor (ALAS) dan Akademi Turath Selangor bagi memperkasa pengurusan dan pengajian al-Quran serta kitab.
[caption id="attachment_684910" align="aligncenter" width="700"] Orang ramai mendengar syarahan Sama’ Sifat Nabi SAW dan Ijazah Hadis Musalsal disampaikan oleh bekas Mufti Besar Mesir Dr Ali Jum’ah ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 23 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]