SHAH ALAM, 1 FEB: Sebanyak 23 sekolah agama di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dikenal pasti sebagai perintis bagi penerapan pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) berasaskan al-Quran.
Dato’ Menteri Besar berkata melibatkan Sekolah Agama Menengah (SAM) dan Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) mulai tahun ini, ia antara lain bertujuan memberi nilai tambah pemahaman pelajar terhadap ilmu STEM berpandukan ajaran al-Quran.
Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan, ia dicadang dimulakan dengan latihan kepada guru-guru, disamping pembangunan dan penilaian modul bersesuaian sekali gus memperluaskan pemahaman pelajar terhadap ilmu itu dari sudut Islam.
“Kita ada 23 sekolah menengah agama di bawah Jais dan 23 itu kita akan cuba terapkan dengan pendekatan STEM, dengan kita cetak al-Qurannya dan kita buat latihan.
“Kita tumpu dekat sekolah Jais, lihat impak dan kesannya dulu, kalau kesannya baik lepas ini kita akan cuba tambah baik, dan cadangkan kepada guru-guru agama masukkan elemen STEM dan boleh perkasa pemahaman pelajar.
“Sains teknologi ini, kalau kita faham daripada sudut aplikasi bagus, faham tentang ilmu, formula, pun bagus, tapi kalau faham juga susur galurnya termasuk apa yang terkandung dalam al-Quran lebih baik, akan jadi lebih sempurna dan lebih dihayati oleh pelajar,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis penutup Penutup Festival Antarabangsa Seni Al-Quran Restu 2025 dan pelancaran STEM Dalam Al-Quran peringkat Selangor di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor di sini, hari ini.
Menurut Amirudin perbincangan lanjut juga akan dilakukan dengan Kementerian Pendidikan antaranya bagi memasukkan silibus STEM berasaskan al-Quran dalam pengajaran di sekolah terbabit sekali gus menambah baik program sedia ada di bawah kelolaan Kerajaan Negeri.
"Di Selangor kita ada lima Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Selangor (MITS), dan inisiatif ini selaras dengan hasrat yang telah diumumkan sebelum ini di mana kita ingin melahirkan penghafal al-Quran yang mahir dan fasih dalam bidang STEM," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Restu berkata sokongan padu Kerajaan Negeri dalam menyokong usaha memakmurkan al-Quran di Selangor membantu yayasan itu dalam menyebarluas jambatan ilmu dan dakwah yang menghubungkan masyarakat global.
“Yayasan ini telah berjaya menghasilkan terjemahan al-Quran dalam 25 bahasa dengan tujuan untuk memartabatkan al-Quran peringkat dunia.
“Kita sekian lama berjuang dalam memartabatkan seni Islam, penyalinan mushaf Al-Quran bertaraf antarabangsa serta pengembangan dakwah melalui seni khat, kesusasteraan, dan pendidikan Islam,” kata Datuk Mohd Asyaharim Abdul Latiff.
Pada majlis itu, Amirudin turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Restu dan Al-Kauthar Eduqids untuk Projek Wakaf 1 Juta Al-Quran bersama pelbagai pihak dari dalam dan luar negara bagi menyebarluas kitab suci itu ke seluruh dunia terutama di kawasan yang memerlukan seperti komuniti muslim minoriti, pusat tahfiz dan institusi pendidikan Islam.