SHAH ALAM, 1 FEB: Hampir 22,000 orang menerima manfaat menerusi program Jualan Ehsan Rahmah (JER) mega sempena Tahun Baharu Cina dengan penjimatan belanja barangan dapur hingga 40 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata program yang dianjur pada 27 dan 28 Januari lalu membabitkan 14 lokasi di negeri ini.
Menurut Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi jualan mega yang turut berlangsung di pasaraya Ehsan Mart itu juga berjaya meraih nilai jualan sekitar RM350,000 secara keseluruhan.
“JER mega adalah program yang dinanti-nantikan rakyat terutamanya ketika musim perayaan kerana dapat membantu meringankan beban mereka dalam persedian menyambut perayaan.
“Sambutan juga memberangsangkan malah kami turut menerima maklum balas yang positif berhubung program ini daripada pengunjung,” katanya kepada Media Selangor.
Dalam pada itu, Mohamad Khairil berkata jualan mega sempena Aidilfitri juga dijangka berlangsung pada 26 hingga 27 Mac ini di beberapa lokasi terpilih di sekitar Selangor.
“Sempena JER Aidilfitri barangan tambahan juga kita bawakan seperti nasi himpit, kacang, santan kotak, bawang merah, cili kering dan ubi kentang bagi membantu persediaan meyambut hari raya,” katanya.
Belanjawan 2025 memperuntuk RM30 juta bagi pelaksanaan JER tahun ini, sekali gus membuktikan tekad pentadbiran negeri meringankan beban kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah.
JER dijadual berlangsung di lebih 1,700 lokasi termasuk jualan mega semasa musim perayaan dinaikkan dari dua kepada enam kali tahun ini.
Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menganjurkan jualan bersubsidi terbesar.
Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.