ad
AGENDA

Tiga lelaki dicari bantu kes langgar lari di Jalan Klang Lama

31 Jan 2025, 6:53 PM
Tiga lelaki dicari bantu kes langgar lari di Jalan Klang Lama

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Polis masih memburu tiga lagi suspek dalam kejadian langgar lari melibatkan dua kenderaan yang dipandu secara melulu di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama di sini, awal pagi Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata setakat ini tiada tangkapan baharu dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu supaya tampil menghubungi polis.

“Sehingga kini belum ada tangkapan baharu dibuat atas kes tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Suspek yang sedang dikesan itu ialah M Devindran, 25, dengan alamat terakhir di Taman Seri Bayu Morib, Banting, Selangor; M Ranjith, 19, alamat terakhir di Lot 307, Jalan Raba, Banting dan M Lavindran, 27, alamat terakhir di Jalan Raja Nala 12, Taman Intan, Kapar, Selangor.

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob berkata lima suspek kejadian berkenaan sudah ditahan Khamis lalu dan mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Azry turut memaklumkan siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara kumpulan suspek dan kumpulan mangsa ketika berhibur di sebuah kelab berhampiran.

Media juga melaporkan dalam kejadian itu, dua kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Toyota Vios dipandu secara melulu keluar dari tempat letak kereta di sebuah bangunan dan melalui jalan di hadapan pusat hiburan terbabit lalu melanggar sekumpulan lelaki yang mengakibatkan dua orang cedera.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.