SHAH ALAM, 31 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengeluarkan lapan notis arahan terhadap taman tema di Seksyen 7 di sini, sejak 14 November lalu susulan meneruskan operasi permainan gelongsor air kaca.
Pengarah Jabatan Korporat dan Perhubungan Awamnya Mohd Azhar Mohd Sharif bagaimanapun berkata pihak i-City gagal mematuhi amaran itu sehingga notis terbaharu dikeluarkan lagi, semalam.
“MBSA amat kesal dengan insiden yang berlaku pada 29 Januari lalu, pihak pengurusan taman tema terkenal ini gagal mematuhi prosedur yang ditetapkan walaupun beberapa notis amaran dikeluarkan sebelum ini.
“MBSA akan terus memantau situasi ini dengan lebih teliti dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan.
Mohd Azhar menambah MBSA menyeru semua pengusaha taman tema dan pihak industri berkaitan mematuhi peraturan ditetapkan demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan orang ramai.
“MBSA ingin menegaskan bahawa keselamatan awam adalah keutamaan kami dan kami komited untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan yang ketat,” katanya.
Sebelum ini tular video berdurasi 18 saat berhubung insiden pelampung permainan gelongsor air kaca setinggi 60 meter dan sepanjang 600 meter di Menara SkyCity, i-City dipercayai terjatuh dan menimpa pengunjung.
Kejadian itu menimbulkan kebimbangan orang ramai mengenai keselamatan permainan di taman tema tersebut.
Sementara itu, Sky i-City memaklumkan pengunjung yang telah membeli tiket permainan gelongsor air kaca di taman tema berkenaan boleh menukar tiket untuk menikmati tarikan lain di i-City.
Jurucakapnya menerusi kenyataan hari ini turut memaklumkan pembeli tiket juga boleh menuntut pulangan wang penuh dengan menghubungi 03-5521 8800.