SHAH ALAM, 31 JAN: Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menjemput orang ramai menyertai sesi borak buku sempena Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur 2025 (KLAB 2025), hujung minggu ini.
Acara selama dua hari akan membicarakan dua karya terjemahan iaitu 'Kepada Rumah Api' dan 'Perincian', bersama tiga personaliti iaitu Wan Nor Azriq, Mustaqeem M Radhi serta Fathi Aris Omar.
Bertempat di Galeri Pameran di Pasar Seni, Kuala Lumpur, acara pada Sabtu akan bermula jam 3 hingga 4 petang, manakala pada Ahad jam 2 hingga 3 petang.
Pada hari pertama, penterjemah naskhah 'Kepada Rumah Api', Wan Nor Azriq dijangka memperincikan karya legenda berusia 98 tahun nukilan Virginia Woolf, bersama moderator Ainunl Muaiyanah.
Wan Nor Azriq merupakan novelis terkenal dan pernah memenangi Pemenang Hadiah Utama Sayembara ITBM-Pena-2014 bagi novel pertamanya, D.U.B.L.I.N selain penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia.
Manakala penterjemah naskhah 'Perincian', Al-Mustaqeem akan membedah karya asal penulisnya, Adania Shibli mengenai kekejaman penjajah berdasarkan kisah benar yang berlaku di Palestin.
Al-Mustaqeem yang menerbitkan lebih 30 buku terjemahan dijadual membicarakan Perincian bersama Pengarang Media Selangor Fathi Aris Omar pada hari terakhir KLAB 2025.