ad
AGENDA

MBSA: Ingkar arahan henti permainan gelongsor air kaca, tindakan tegas dikenakan

31 Jan 2025, 3:48 AM
MBSA: Ingkar arahan henti permainan gelongsor air kaca, tindakan tegas dikenakan

Oleh Amirahwani Rahimi

SHAH ALAM, 31 JAN: Maj​lis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak i-City kerana ingkar arahan henti operasi permainan gelongsor air kaca di taman tema itu.

Pengarah Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam Mohd Azhar Mohd Sharif berkata kompaun juga telah dikeluarkan pada 14 November 2024 selepas pihak i-City gagal mematuhi arahan henti operasi.

"Jabatan Bangunan dan Penguatkuasaan MBSA akan ke tapak tersebut. Pihak kami tidak akan berkompromi kerana perkara ini melibatkan keselamatan orang ramai," katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof menggesa MBSA bertegas dalam isu tersebut demi keselamatan orang ramai.

"Soalnya adakah ia selamat? Saya berkongsi kebimbangan yang turut disuarakan ramai sejak sehari dua ini. Selalunya struktur seperti ini memerlukan piawaian reka bentuk dan pembinaan yang tinggi dan pemeriksaan yang ketat.

"Saya telah hubungi MBSA untuk bertanyakan adakah Menara SkyCity telah mendapat kelulusan untuk beroperasi? Adakah ia telah melalui proses pemeriksaan dan mendapat kelulusan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP)?

"Sebagai Ahli Parlimen Shah Alam, saya tidak mahu ada kemalangan yang tidak diingini berlaku disebabkan kecuaian kerana tidak mematuhi peraturan pembinaan dan syarat pengoperasian yang ditetapkan," katanya di Facebook.

Sebelum ini tular video berdurasi 18 saat berhubung insiden pelampung permainan gelongsor air kaca setinggi 60 meter dan sepanjang 600 meter di Menara SkyCity, i-City dipercayai terjatuh dan menimpa pengunjung.

Kejadian itu menimbulkan kebimbangan orang ramai mengenai keselamatan permainan di taman tema tersebut.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.