ad
AGENDA

Banjir: Masjid, surau di Sarawak diminta laksana solat hajat, mohon musibah diangkat Allah

31 Jan 2025, 1:59 AM
Banjir: Masjid, surau di Sarawak diminta laksana solat hajat, mohon musibah diangkat Allah

SIBU, 31 JAN: Majlis Islam Sarawak (MIS) mengarahkan semua masjid dan surau yang mengadakan solat Jumaat di seluruh Sarawak untuk melaksanakan Solat Hajat Bencana Banjir selepas solat fardu Jumaat hari ini.

Solat ini bertujuan memohon kesejahteraan mangsa banjir serta agar bencana tersebut segera diangkat.

Arahan itu dikeluarkan melalui satu pekeliling bertarikh semalam yang ditandatangani oleh Setiausaha MIS Mual Suaud, dan diedarkan kepada semua pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan serta Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau di seluruh Sarawak.

Pekeliling tersebut menyatakan bahawa Majlis Islam Sarawak menzahirkan keprihatinan mendalam terhadap bencana banjir yang sedang melanda Sarawak, khususnya di Bahagian Serian, Bintulu, dan Miri, yang telah menjejaskan kehidupan penduduk serta menyebabkan kerosakan harta benda.

Setakat pagi ini, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak melaporkan bahawa jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 9,398 orang daripada 2,725 keluarga.

Daerah Bintulu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 4,021 orang daripada 1,090 keluarga yang berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS), diikuti daerah Serian dengan 1,886 mangsa daripada 602 keluarga yang ditempatkan di 15 PPS.

-- BERNAMA

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.