Seorang orientalis yang tokoh utamanya penganut Yahudi Hungary bernama Goldziher mendakwa hadis tidak ditulis kecuali selepas konflik sengit antara Bani Umayyah dan penentang mereka termasuk golongan Ahlul Bait dan kelompok Zubairiyah.
Setiap pihak dikatakan mencipta hadis untuk menyokong pandangan mereka dan menjadi hujah menentang pihak lawan. Bani Umayyah pula didakwa menggunakan kebijaksanaan mereka untuk memperalat Imam al-Zuhri dalam hal ini. Tuduhan itu tidak hanya terbatas pada hadis berkaitan politik yang memihak kepada Bani Umayyah, malah ia melibatkan isu ibadah.
Dakwaan tersebut bercanggah realiti sebenar. Abdul Malik bin Marwan, khalifah pada zaman Imam al-Zuhri yang menulis hadis digambarkan oleh Ibn Saad dan sejarawan lain sebagai seorang yang tekun beribadah dan bertakwa sejak kecil sehingga digelar "Merpati Masjid". Pada zamannya juga, tercatat pelbagai kejayaan dalam peluasan wilayah Islam.
Al-Zuhri dan rakan-rakan ulama sezamannya bukanlah alat di tangan mana-mana penguasa. Sebaliknya, mereka dikenali atas ketakwaan dan kebanggaan terhadap Islam, yang membuktikan tiada seorang pun daripada mereka yang menjadikan diri mereka alat untuk memenuhi keinginan pemerintah semata-mata demi memperoleh keredaan penguasa dan menanggung kemurkaan Allah.
Al-Zuhri orang yang paling alim tentang sunnah pada zamannya. Sufyan bin ‘Uyainah berkata: “Tidak ada seorang pun dalam kalangan manusia yang lebih tahu tentang manusia selain al-Zuhri.” Yahya bin Sa‘id al-Qattan pula berkata: “Tiada lagi ilmu yang tinggal di sisi mana-mana orang seperti yang ada pada al-Zuhri.”
Beliau orang pertama yang mempelopori penulisan sunnah secara menyeluruh setelah Umar bin Abdul Aziz menulis kepada pegawainya di Madinah, Abu Bakar bin Hazm serta para gabenor di wilayah lain agar mengumpulkan sunnah Rasulullah. Abu Bakar bin Hazm hanya berjaya mengumpulkan sebahagian kecil manakala yang benar-benar gigih mengumpulkan, menyusun dan dikenali atas usaha ini ialah al-Zuhri.
Para ulama jarh wa ta‘dil sepakat tentang kepercayaan, kejujuran dan kedudukan tinggi al-Zuhri dalam ilmu hadis. Tuduhan Goldziher yang mendakwa al-Zuhri ada hubungan dengan Bani Umayyah dan kononnya diperguna untuk mencipta hadis sesuai kehendak mereka adalah fitnah yang tidak wajar dilempar kepada insan yang jujur dan bertakwa seperti al-Zuhri.
Daya ingatan
Jika ada fakta bahawa beliau berhubung dengan para khalifah atau mereka yang mendekatinya, hubungan tersebut tidak memberi pengaruh ke atas dirinya melainkan dalam bentuk nasihat berkaitan agama, peringatan terhadap tanggungjawab mereka kepada umat serta kewajipan yang Allah amanahkan kepada mereka untuk menjaga rakyat. Selain itu, al-Zuhri turut mendidik anak-anak mereka agar menjadi teladan baik kepada orang lain.
Selain Goldziher, sebahagian penulis moden seperti Ahmad Amin dalam bukunya Fajr al-Islam dan Abu Rayyah dalam Adhwa’ ‘ala al-Sunnah al-Muhammadiyyah bersikap buruk terhadap Abu Hurairah. Mereka mendakwa beliau adalah sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis tetapi tidak menulisnya dan hanya menyampaikannya berdasarkan ingatan. Mereka mendakwa beliau tidak terbatas kepada apa yang didengarnya daripada Rasulullah tetapi turut meriwayatkan apa yang didengarnya daripada orang lain.
Selain itu, mereka menyatakan sebahagian sahabat mengkritik dan meragui kejujurannya serta menuduh beliau sebagai seorang yang hina, diragui keislamannya dan cenderung menyokong Bani Umayyah.
Tuduhan tersebut terjawab dengan banyaknya riwayat Abu Hurairah berpunca dari kehebatan daya ingatannya. Sebagaimana yang diriwayat ulama hadis, ketika beliau memeluk Islam, beliau mengadu tentang kelemahan ingatannya kepada Rasulullah. Baginda pun bersabda kepadanya: "Bentangkan kainmu." Lalu beliau membentangkannya dan Rasulullah berkata: "Peluk kain itu ke dadamu." Setelah beliau melakukannya, beliau tidak pernah lupa akan apa-apa hadis selepas itu. Ibn Hajar berkata selepas meriwayatkan kisah itu: "Hadis tersebut adalah salah satu tanda kenabian kerana Abu Hurairah menjadi orang yang paling banyak menghafal hadis nabi pada zamannya."
Abu Hurairah juga sahabat paling rapat dengan Rasulullah. Beliau menyaksikan banyak perkara yang tidak dilihat oleh sahabat lain dari segi ucapan dan perbuatan baginda. Imam Syafie berkata: "Abu Hurairah adalah orang yang paling hafal hadis pada masanya." Al-Hakim pula berkata: "Beliau adalah antara sahabat Rasulullah yang paling hafal hadis dan paling banyak menemani baginda."
Berkenaan dakwaan Abu Hurairah tidak menulis hadis tetapi hanya meriwayatkannya berdasarkan ingatan, hal ini keadaan umum dalam kalangan para sahabat kecuali sebilangan kecil seperti Abdullah bin Amru bin al-As yang menulis untuk dirinya sendiri. Bangsa Arab pada masa itu adalah masyarakat yang tidak biasa menulis, maka mereka menggantikan tulisan di lembaran dengan hafalan.
Mengenai tuduhan bahawa beliau meriwayatkan daripada Rasulullah apa yang didengarnya daripada orang lain, ini bukanlah sesuatu yang khusus kepada Abu Hurairah sahaja. Bahkan, ia turut dilakukan oleh sahabat-sahabat muda dan mereka yang memeluk Islam lebih lewat. Oleh sebab itu, para ulama menetapkan hadis mursal daripada sahabat mempunyai hukum sama seperti hadis marfu‘ (yang bersambung kepada Rasulullah)
Berkenaan dakwaan adanya kritikan terhadap beberapa hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan keraguan terhadap kejujurannya, tiada satu pun tuduhan tersebut sahih. Para salaf sepakat menetapkan keadilan para sahabat dan tidak pernah diketahui bahawa mana-mana sahabat menuduh sahabat lain berbohong atau meragui kejujurannya.