ad
AGENDA

Nahas pesawat Washington DC: Penyelam mungkin temukan kotak hitam

30 Jan 2025, 12:43 PM
Nahas pesawat Washington DC: Penyelam mungkin temukan kotak hitam

MOSCOW, 30 JAN: Pasukan penyelam mungkin telah menemukan satu daripada dua perakam data, atau dikenali sebagai kotak hitam, milik pesawat yang terhempas berhampiran Washington DC, lapor CBS pada Khamis, menurut Sputnik/RIA Novosti.

Menurut laporan itu, pesawat berkenaan telah pecah kepada beberapa bahagian yang berada pada kedalaman antara 1.5 meter hingga 2.5 meter. Penyiar juga melaporkan penyelam berjaya mendapatkan akses ke kokpit pesawat berkenaan.

Helikopter yang bertembung dengan pesawat itu berada dalam keadaan terbalik, namun kelihatan sebahagian besarnya masih utuh.

Sementara itu, Associated Press melaporkan bahawa berdasarkan rakaman perbualan, helikopter tentera yang bertembung dengan pesawat penumpang berhampiran Reagan National Airport  (DCA), Washington, DC, gagal memberi respons kepada amaran pengawal trafik udara mengenai kedudukan pesawat sebelum perlanggaran berlaku.

Kurang daripada 30 saat sebelum perlanggaran, pengawal trafik udara dilaporkan bertanya kepada juruterbang helikopter sama ada dia dapat melihat pesawat berkenaan, menurut laporan itu.

-BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.