KUALA TERENGGANU, 30 JAN: Peniaga sayur kerugian RM214,700 akibat diperdaya sindiket skim pelaburan tidak wujud di laman sosial Facebook.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 11 Disember tahun lalu wanita berusia 54 tahun itu melihat iklan pelaburan di laman sosial berkenaan sebelum menghubungi lelaki dikenali 'Zulfikar' melalui aplikasi Whatsapp untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Beliau berkata mangsa yang berasal dari Tepoh, Kuala Nerus itu kemudiannya diminta menghubungi individu wanita lain yang akan menerangkan lebih lanjut mengenai pelaburan terbabit.
"Mangsa dijanjikan keuntungan RM30,000 dalam masa tiga hingga enam jam dengan pelaburan asas RM500. Terpengaruh dengan nilai keuntungan besar, mangsa membuat pelaburan pertama seperti diarahkan.
“Namun, beberapa jam kemudian, mangsa diminta membuat pembayaran lain bagi urusan pengeluaran keuntungan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azli berkata mangsa membuat 42 kali bayaran ke 16 akaun berbeza menggunakan wang simpanan dan hasil gadaian barang kemas.
Bagaimanapun, mangsa menyedari ditipu membuat laporan polis pada 7.24 malam semalam setelah gagal mendapat keuntungan pelaburan yang dijanjikan meskipun sudah sekian lama menunggu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Orang ramai diminta sentiasa berwaspada dengan taktik penipuan sindiket," katanya.
- BERNAMA