SHAH ALAM, 30 JAN: Kerajaan Negeri memuji usaha Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk membentuk Jawatankuasa Khas Penyelarasan Agensi-Agensi bagi pembangunan semula Gaza.
EXCO Agama Dr Fahmi Ngah berkata inisiatif itu selaras usaha Kerajaan Negeri yang telah melancarkan Tabung Pembangunan Ehsan Selangor-Gaza tahun lalu.
“Usaha amat baik. Kerajaan Negeri juga ada Tabung Pembangunan Ehsan Selangor-Gaza yang akan membina beberapa pembangunan infrastruktur di Palestin.
“Dengan proses gencatan senjata yang telah bermula, kita berharap projek itu dapat dimulakan segera,” katanya kepada Media Selangor.
[caption id="attachment_684127" align="alignleft" width="500"] EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah ditemui media ketika Amanat Tahun Baharu 2025 di Auditorium Jubli Perak, Shah Alam pada 27 Januari 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
April lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj melancarkan Tabung Pembangunan Ehsan Selangor-Gaza membabitkan tiga projek di atas tanah wakaf di Gaza.
Projek terbabit adalah pembinaan satu blok Apartmen Darul Ehsan (RM3.0 juta), Masjid Darul Ehsan (RM4.0 juta) dan Menara Tangki Air Darul Ehsan (RM1.7 juta), yang memerlukan dana RM8.7 juta.
Tabung inisiatif Kerajaan Selangor bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) itu diselaraskan menerusi Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) melalui akaun Maybank Islamic Berhad (562106718620).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerusi kenyataan semalam memaklumkan Jawatankuasa Khas Penyelarasan Agensi-Agensi akan diurussetiakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Waqaf Malaysia.
Menurut Datuk Mohd Na’im Mokhtar, jawatankuasa itu akan menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam negeri serta rakan strategik bagi mempertingkatkan usaha menyeluruh masyarakat dalam pembangunan semula Gaza.