SHAH ALAM, 30 JAN: Bantuan pendidikan dan infrastruktur sekolah antara tumpuan ahli parlimen Bangi tahun ini yang akan disalurkan menerusi bantuan Projek Mesra Rakyat.
Syahredzan Johan berkata bantuan itu tidak terhad kepada sekolah kebangsaan (SK) sahaja tetapi meliputi sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC) dan tamil (SJKT).
“Fokus tahun ini kepada pendidikan dan infrastruktur sekolah kerana saya percaya tidak rugi bantu anak-anak yang akan mewarisi komuniti, negeri dan negara pada masa hadapan.
“Bantuan disalur menerusi program mesra rakyat dan bukan sahaja kepada sekolah kebangsaan. Setakat ini, SJKT telah diberi peruntukan cuma perlu diberi fokus kepada SJKC sahaja,” katanya dihubungi Selangorkini.
[caption id="attachment_682156" align="alignnone" width="941"] Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan memantau kerja-kerja naik taraf Pasar Awam Seksyen 1, Bandar Baru Bangi pada 15 Januari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Baru-baru ini, Syahredzan memaklumkan sejumlah RM15,100 diperuntuk kepada SK Jalan Semenyih 2 di Kajang menerusi Projek Mesra Rakyat Parlimen Bangi.
Katanya, dana itu untuk membekal dan memasang penghawa dingin, komputer, papan tanda dan meja.
Beliau menjelaskan pihaknya juga bekerjasama dengan persatuan penduduk dalam membuat hebahan segala bantuan disediakan kepada masyarakat.
“Tujuannya bagi memastikan setiap bantuan yang disediakan sampai kepada masyarakat. Kita ada kira-kira 700,000 penduduk dan 300,000 pengundi, sudah pasti ada segelintir yang tidak menerima maklumat.
“Penting untuk kita kerjasama dengan persatuan penduduk supaya maklumat sampai dan mereka juga boleh ikuti perkembangan terkini di laman sosial,” katanya.