SHAH ALAM, 30 JAN: Program Gagasan Rumpun Selangor yang menjadi kerangka memperkukuh perpaduan negeri dijadual diteruskan di Gombak April ini, maklum EXCO perpaduan.
Datuk Rizam Ismail berkata penjelajahan bakal diserikan dengan penglibatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
“Program ni dijangka disambung pada April di Gombak kerana ia adalah daerah terakhir untuk sesi 2024, kemudian seterusnya akan diteruskan untuk sesi 2025 ke sembilan daerah,” katanya kepada Media Selangor.
[caption id="attachment_657369" align="alignnone" width="918"] Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli bertemu rakyat menerusi Program Eksplorasi Gagasan Rumpun Selangor di Kuala Langat pada 8 Ogos 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office[/caption]
Tambah beliau, pengisian penuh program sedang dirangka termasuk aktiviti dan promosi yang diselaras bersama Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) bagi menyemarak pelaksanaannya.
“Promosi untuk program ini akan diperbanyakkan lagi kerana tahun ini akan ada penglibatan Raja Muda Selangor dan Dato’ Menteri Besar.
“Program mempromosikan TMS2025 akan disekalikan dalam Gagasan Rumpun Selangor, disamping tempat pelancongan menarik juga boleh diketengahkan sepanjang berlangsungnya jelajah,” katanya.
Rizam sebelum ini berkata Gagasan Rumpun Selangor bakal tampil dengan konsep berbeza berbanding sebelum ini, yang mana pengisian aktiviti disusun diselaras bersama TMS2025.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Gagasan Rumpun Selangor diperkenal bagi meraikan kepelbagaian dan menyemarak semangat perpaduan negeri ini.
Jelasnya, pelaksanaannya meliputi enam agenda utama iaitu karnival dan eksplorasi, dasar, lagu perpaduan serta penstrukturan dan pemerkasaan institusi kepimpinan kampung.