ad
BERITA UTAMA

Keenakan kuih bakul acuan buluh, kukus hingga 20 jam

30 Jan 2025, 1:00 AM
Keenakan kuih bakul acuan buluh, kukus hingga 20 jam
Keenakan kuih bakul acuan buluh, kukus hingga 20 jam
Keenakan kuih bakul acuan buluh, kukus hingga 20 jam
Keenakan kuih bakul acuan buluh, kukus hingga 20 jam

Kuih bakul Kuala Kubu Bharu dianggap istimewa kerana menggunakan buluh dan mangkuk seramik sebagai bekas acuan berbanding tin susu terpakai.

Meski makanan tradisional masyarakat Cina itu cuma menggunakan dua jenis bahan tetapi penyediaannya rumit hingga mengambil masa tiga hari.

Kerja mengukus memakan masa 18 hingga 20 jam menggunakan api marak. Kerja mengacau memerlukan banyak kudrat kerana adunan memekat. Bahan api pula bukan dapur gas sebaliknya kayu getah dan kayu rambutan.

"Kayu getah menghasilkan api yang kuat dan kayu rambutan menghasilkan api lebih kecil. Jadi, gabungan kedua-dua jenis ini mudahkan kawalan api," kata pengusaha Chong Qing Wern, 30, kepada Media Selangor di Kampung Assam Kumbang, Kuala Kubu Bharu pada 10 Januari.

[caption id="attachment_683905" align="alignnone" width="775"]
Chong Qing Wern, 30 menunjukkan Kuih Bakul yang telah siap dimasak pada Pesta Kuih Bakul (Rice Cake) sempena Tahun Baru Cina di Dewan Kampung Assam Kumbang, Kuala Kubu Bharu pada 12 Januari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Beliau memberitahu sebilah pisau diikat pada penutup pengukus bagi menghalau unsur jahat berdasarkan kepercayaan masyarakat Tionghoa.

Sebelum dikukus, beras pulut yang dicampur air dikisar menjadi tepung sebelum digantung 10 hingga 12 jam untuk menghilangkan kandungan air. Tepung beras itu kemudian diadun bersama gula pasir sebelum dikukus.

Kemudian kuih yang masih panas itu dituang ke bekas buluh dan mangkuk yang dilapik daun pisang. Ia mengeras apabila sejuk.

"Kalau kuih bakul tempat lain, mereka tuang dalam tin susu yang dilapik daun pisang. Bila sejuk, kuih itu jadi keras, barulah keluarkan kuih yang berbungkus daun pisang daripada tin. Istimewanya kuih bakul Kuala Kubu Bharu ini, kami tuang dalam bekas buluh siap daun pisang sekali," katanya.

[caption id="attachment_683897" align="alignnone" width="826"] Kuih bakul yang dikukus dalam bekas kukus khas di Dewan Kampung Assam Kumbang, Kuala Kubu Bharu pada 12 Januari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Jenama 'Cheng Nian' itu merujuk proses penyejukannya mengambil masa dua hari supaya betul-betul keras, beliau mempelajari resipi tersebut daripada orang-orang tua di daerah berkenaan.

'Cheng' melambangkan warisan tradisi dan 'nian' merujuk kuih bakul sekali gus membawa maksud mewarisi tradisi pembuatan kuih bakul.

‘Cheng' juga bermaksud memikul atau menyokong dan melambangkan semangat generasi muda bagi menggambarkan keghairahan generasi baharu meneruskan warisan turun-temurun.

Kuih tersebut perlu dibuat penuh berhati-hati supaya sempurna dan enak kerana masyarakat Cina percaya ia mempengaruhi 'ong' atau tuah sepanjang tahun.

Pembuatannya juga ada pantang larang tertentu. Wanita datang bulan dan individu kematian ahli keluarga sebelum mencapai 100 hari tidak dibenarkan memasak. Mereka juga tidak boleh bercakap perkara tidak elok sepanjang kerja itu.

[caption id="attachment_683892" align="alignnone" width="808"] Buluh dipotong dan dijemur sebelum memasukkan kuih bakul di Dewan Kampung Assam Kumbang, Kuala Kubu Bharu pada 12 Januari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Kuih itu dijual pada harga RM18, RM23 dan RM28 setiap satu mengikut saiz. Ada 12 biji edisi khas tertera gambar 12 haiwan dalam kalendar Cina untuk dilelong pada harga bermula RM288.

Nilai itu dipilih kerana masyarakat Cina percaya ia memberi tuah sepanjang tahun baharu. Hasil lelongan disumbangkan kepada sekolah terpilih.

Hidangan wajib setiap kali perayaan itu juga dikenali sebagai 'Nian Gao' yang bermaksud makin tahun, makin tinggi bagi menggambarkan setiap tahun baharu, setingkat lagi kemajuan dicapai.

Selain terkenal di Lembah Klang, kuih bakul resipi Kuala Kubu Bharu juga menerima tempahan dari luar Selangor termasuk Sabah.

Kali ini, Chong menggunakan 178 kilogram beras pulut dan 178 kilogram gula pasir. Lelaki itu menyiapkan kira-kira 800 kuih yang dikukus dalam lapan kuali besar.

[embed]https://youtu.be/ahEk6vM9WXc[/embed]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.