Oleh Dewi Abdul Rahman
SHAH ALAM, 29 JAN: Kerajaan Selangor terus memperhebat usaha bagi memastikan miskin tegar negeri ini dapat dinoktahkan.
EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata, usaha Selangor membasmi kemiskinan tegar hampir mencapai sasaran dan beliau optimis ia mampu direalisasi seperti Pahang dan Negeri Sembilan yang merekodkan sifar miskin tegar.
"Daripada 20,000 miskin tegar di Selangor, ia dapat dikurangkan. Saya telah arahkan semua jabatan dan agensi kerajaan untuk fokus menyelesaikan miskin tegar.
[caption id="attachment_684469" align="alignleft" width="500"] EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berucap ketika majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-Seed) daerah Petaling di Wisma Kohijrah, Shah Alam pada 28 Januari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
"Sebagai kerajaan yang ada pada hari ini, perlu ada rancangan ataupun sasaran supaya usaha itu membuahkan hasil," katanya ditemui pada Majlis Penyerahan Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-Seed) di sini semalam.
Papparaidu berkata, usaha menoktahkan kemiskinan adalah proses jangka masa panjang dan rakyat juga perlu mempunyai kesedaran untuk mengubah taraf hidup.
"Pertama sekali saya ingin menekankan tentang pendidikan. Pelajaran dan juga kursus kemahiran kepada golongan B40, mereka perlu meningkatkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan sebagainya.
"Dengan itu, barulah mereka boleh meningkatkan kualiti diri," katanya.
Beliau turut menasihatkan anak muda khususnya, melibatkan diri dengan bidang berimpak tinggi seperti aeroangkasa, penerbangan dan kecerdasan buatan (AI) yang semakin mendapat tempat dalam pasaran kerja.
Dalam pada itu beliau yang juga wakil rakyat Banting berkata Selangor memperuntuk RM16.48 juta untuk pemberian baucar sempena musim perayaan dan ia meringankan beban golongan B40.
"Satu angka besar, tetapi adakah membantu mengurangkan beban rakyat? Memang ada. Ramai berterima kasih kepada wakil rakyat dan pentadbiran negeri pimpinan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari," katanya.
[caption id="attachment_684470" align="aligncenter" width="1146"] EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu menyampaikan sumbangan peralatan kepada penerima ketika majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-Seed) daerah Petaling di Wisma Kohijrah, Shah Alam pada 28 Januari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_684409" align="aligncenter" width="1086"] EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu bersama penerima sumbangan peralatan ketika majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-Seed) daerah Petaling di Wisma Kohijrah, Shah Alam pada 28 Januari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]