ad
AGENDA

Suka jadi duka, rumah empat beranak terbakar pagi Tahun Baharu Cina

29 Jan 2025, 4:22 AM
Suka jadi duka, rumah empat beranak terbakar pagi Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Kegembiraan menyambut Tahun Baharu Cina bagi empat sekeluarga bertukar duka apabila kediaman dihuni mereka di Taman Mas 1, Hulu Langat, dekat sini, terbakar awal pagi tadi.

Keempat-empat mangsa berusia lingkungan 46 hingga 81 tahun itu terperangkap di dalam rumah berkenaan sebelum berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba, namun mengalami sesak nafas.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 2.40 pagi.

Beliau berkata sebanyak 12 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn serta Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah teres setingkat yang musnah 20 peratus serta sebuah motosikal Yamaha yang diletakkan di hadapan rumah, dan kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh 20 minit.

“Terdapat sepasang warga emas serta masing-masing seorang lelaki dan wanita dewasa yang diselamatkan bomba mengalami sesak nafas dan dihantar ke Hospital Ampang bagi menerima rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.20 pagi, namun punca kebakaran masih dalam siasatan.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.