SHAH ALAM, 29 JAN: Tahun ular kayu yang membawa simbol kebijaksanaan, kesuburan dan kekayaan diharap menjadi peluang untuk rakyat terus mengemudi diri dan komuniti ke arah kejayaan.
Sambil menitipkan ucapan Tahun Baharu Cina kepada kaum Tionghoa, Dato’ Menteri Besar berharap inspirasi tahun ular kayu membimbing rakyat mencapai kejayaan yang membanggakan demi negara.
“Kalendar lunar masyarakat Tionghoa kali ini menandakan ketibaan tahun ular kayu. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, simbol ular mewakili kebijaksanaan, kesuburan dan kekayaan.
“Sempena sambutan Tahun Baharu Cina, saya harap kita sentiasa berhikmah mengemudi diri, keluarga dan masyarakat mencapai kejayaan yang membanggakan demi negara,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
[caption id="attachment_682872" align="aligncenter" width="812"] Sebahagian penerima baucar Jom Shopping Perayaan sempena Tahun Baharu Cina 2025 DUN Taman Medan di Mydin Mall Subang Jaya pada 19 Januari 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]
Dalam pada itu, beliau berkata warga Selangor menerima baucar Jom Shopping setiap tahun sempena perayaan utama negara, yang diharap menyuntik kebahagiaan dan kegembiraan mereka.
“Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua yang menyambutnya di Selangor dan Malaysia. Gong Xi Fa Cai! Xin Nian Kuai Le!,” katanya di Facebook.
Sebelum ini, EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu memaklumkan sebanyak 23,800 baucar Jom Shopping perayaan bernilai RM200 bakal diagih sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Program yang menyasarkan golongan memerlukan dan berpendapatan rendah di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan peruntukan RM4.76 juta.