SHAH ALAM, 29 JAN: Selangor menawarkan ekosistem kukuh dalam menyokong pertumbuhan industri aeroangkasa melalui aktiviti penyelidikan, pembangunan, pembuatan dan penyelenggaraan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia sekali gus meletakkan Selangor di landasan tepat, menjadi peneraju pembangunan industri dinamik itu, bukan sahaja di peringkat serantau tetapi juga global.
“Industri aeroangkasa di Selangor terus berkembang pesat, menjadikan negeri ini sebagai hab utama sektor aeroangkasa di Malaysia.
“Melalui inisiatif Majlis Aeroangkasa Selangor, Kerajaan Negeri memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan sektor ini dengan memperkukuh dasar, menarik pelaburan, serta memupuk kerjasama antara industri dan institusi pendidikan,” katanya menerusi Facebook.
[caption id="attachment_684424" align="aligncenter" width="980"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menghadiri mesyuarat Majlis Aeroangkasa Selangor pada 27 Januari 2025. Foto Facebook Amirudin Shari[/caption]
Amirudin menambah fokus khas turut diberikan kepada pembangunan bakat melalui program latihan khusus dan kerjasama strategik bersama penggiat industri utama.
“Dengan usaha berterusan ini, saya yakin Selangor, Insya-Allah berada di landasan tepat menjadi peneraju pembangunan aeroangkasa, bukan sahaja di peringkat serantau tetapi juga global,” katanya.
Aeroangkasa merupakan antara sektor tumpuan dalam Dasar Speed Selangor yang diumum Amirudin dalam Belanjawan Selangor 2025.
Selangor turut merangka Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor 2020-2030, iaitu strategi 10 tahun bagi merealisasi pembangunan industri aeroangkasa dan memacu hab perindustrian aeroangkasa.
Pembangunan Taman Aero Selangor (SAP) yang terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) akan turut dilaksanakan bagi menjadikan Selangor sebagai hab aeroangkasa global khususnya di rantau Asia Tenggara.