ad
AGENDA

Dua lelaki warga asing ditahan, rokok seludup bernilai lebih RM870,000 dirampas

29 Jan 2025, 3:46 AM
Dua lelaki warga asing ditahan, rokok seludup bernilai lebih RM870,000 dirampas

LAHAD DATU, 29 JAN: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menahan dua warga asing dan mematahkan cubaan menyeludup rokok membabitkan nilai anggaran selepas cukai RM871,854.40 dalam operasi di koloni setinggan atas air di Kampung Bakau di sini semalam.

Komander ESSCOM DCP Datuk Victor Sanjos berkata 580,000 batang rokok putih pelbagai jenis dan 440 bungkusan kecil tembakau dirampas dalam operasi itu yang dilaksanakan hasil maklumat orang awam.

Beliau berkata seorang wanita dan seorang lelaki warganegara Filipina ditangkap dipercayai aktif dalam kegiatan menyeludup rokok tanpa cukai di sini dan pihaknya merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda serta tiga bot enjin sangkut bernilai kira-kira RM62,000.

Mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala siasatan kes penyeludupan pula di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967, katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Victor berkata ESSCOM sentiasa memantau dan akan terus memperhebat operasi khas seperti ini bagi mengekang elemen yang boleh mengganggu-gugat keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan awam, khususnya di Pantai Timur Sabah.

“Saya amat mengalu-alukan kerjasama orang awam melaporkan terus sebarang maklumat, aktiviti dan insiden mencurigakan ke Pusat Operasi ESSCOM menerusi talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApp 011-63311072,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.