Oleh Intan Syuhada Akhir
Sambal belacan pagi Tahun Baharu Cina menjadi menu utama pelakon Adam Corrie Lee Abdullah dan keluarganya sejak kecil.
Popular dengan watak gangster ‘Dragon’ dalam KL Gangster 1 & 2, Adam Corrie berkata itu makanan wajib disediakan bapanya Lee Kang Hai pada malam perayaan.
Lelaki berusia 56 tahun itu menegaskan bukan Yee Sang yang menjadi sajian utama, tetapi sambal belacan air tangan bapa.
“Boleh dikatakan kemeriahan Tahun Baharu Cina bergantung kepada ayah. Kalau dia ada, malam itu kami makan besar. Petang hari kami beli udang, ikan, ketam, sayur dan ulam. Itu menu yang wajib ada di meja.
“Ayah lebih suka ketam, ibu rebus sampai warna ketam kemerahan sebab isinya lebih manis. Kemudian dia buat sambal belacan sendiri, ayah tidak mahu sesiapa buat sambal belacan kerana katanya tidak sedap.
“Ayah makan ketam yang direbus tadi dengan sambal belacan. Saya akui memang sambal buatannya cukup pedas dan rasa, tiada siapa boleh menandinginya,” katanya ketika ditemui Media Selangor pada 21 Januari.
Bapanya menghembuskan nafas terakhir pada 2010 akibat sakit tua. Legasi sambal belacan Tahun Baharu Cina diteruskan Adam Corrie.
[caption id="attachment_684415" align="alignleft" width="333"] Pelakon Adam Corrie Lee Abdullah. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Dalam 10 orang adik-beradik, hanya saya yang boleh buat sambal belacan mirip mendiang. Syukurlah sebelum bapa meninggal, saya sempat ambil semua resipi.
“Sampai hari ini, kalau tiba-tiba kami teringat atau rindu mendiang, saya akan buat sambal belacan itu,” tambahnya.
Pelakon kelahiran Pulau Pinang itu masih terkenang zaman kanak-kanak ketika membesar di kem Akademi Tentera Darat, Port Dickson.
Majoriti penghuni di situ berketurunan Melayu membuatkan Adam dan keluarganya menyambut Tahun Baharu Cina dalam suasana sederhana.
Makan besar
Lebih-lebih lagi jika mendiang bapanya Sarjan Lee Kang Hai bertugas sebagai tentera pengaman di negara bergolak ketika perayaan.
Tiada makan besar. Adik-beradik dan ibunya hanya bersarapan mi suah dan saling bermaafan. Sesekali jiran yang juga seorang ustaz dan isterinya membawa sedikit juadah demi menambah kemeriahan.
Kini, setiap kali Tahun Baharu Cina, beliau dan adik-beradiknya berkumpul di Taiping, Perak. Mereka makan besar di restoran berdekatan rumah atas permintaan ibu.
“Semua orang berkumpul dan makan di restoran. Ibu sudah tua, tahun ini usianya 80 tahun. Oleh sebab dia makan sedikit sahaja, dia yang minta kami tidak perlu susah-susah untuk masak.
“Selepas ayah meninggal, juadah makan besar kami pun berbeza. Tiada lagi ketam rebus dan sambal belacan,” jelasnya sambil menegaskan sambutan tahun baharu masih sama seperti dulu walaupun beliau memeluk Islam pada 2007.
Selepas makan besar, Adam dan adik-beradiknya bermain mahjong bersama ibu. Menariknya, mereka semua berpakat untuk kalah dalam permainan tersebut agar wang kemenangan diberi kepada ibu.
“Sekarang benda yang paling seronok semasa Tahun Baharu Cina apabila adik-beradik berkumpul. Di situlah kita bercerita, buat lawak dan ketawa sesama sendiri.
“Kemudian kami main ‘judi’, ajak emak sekali. Tapi syaratnya kami adik-beradik kena kalah. Duit itu semuanya kami beri kepada emak. Bukan main gembira lagi emak setiap kali menang.
“Hanya itulah yang boleh kami lakukan untuk wujudkan kegembiraan,” tambahnya.
Adam berkahwin dengan Fazema Mohd Fuad pada 2008 dan mempunyai seorang anak bernama Adam Fateh Lee.
Pada 2017, Adam Corrie pernah dipilih sebagai 'Tokoh Saudara Kita' peringkat Selangor sempena sambutan Maal Hijrah 1439.