KUALA LUMPUR, 29 JAN: Gempa bumi sederhana berukuran magnitud 5.9 dilaporkan berlaku di Semenanjung Minahassa, Indonesia pada 10.53 malam tadi dengan gegaran turut dirasai di sekitar Semporna, Tawau dan Lahad Datu, Sabah.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan turut melaporkan bahawa gempa bumi itu berlaku pada jarak 210 kilometer timur laut dari Palu, Indonesia.
Menurut MetMalaysia, gempa bumi sederhana pada kedalaman 80 kilometer itu berlaku pada koordinat 0.5 darjah utara dan 121.2 darjah timur.
MetMalaysia turut meminta orang ramai yang merasai gegaran untuk mengisi borang soal selidik di pautan https://forms.gle/UUwf3JsW9kthTVr38.
Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah ketika dihubungi berkata pihaknya menerima maklumat mengenai gegaran yang dirasai di tiga Kawasan berkenaan dan pemantauan situasi dilakukan.
"Setakat ini tiada laporan kejadian tidak diingini diterima dan pihak kami sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan," katanya.
- BERNAMA