SHAH ALAM, 28 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor menyeru rakyat mengamalkan muafakat dalam kehidupan seharian supaya keamanan kekal kukuh.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin bertitah negara ini unik kerana keharmonian masyarakat berbilang bangsa yang hidup bersama serta berkongsi banyak perkara terutamanya budaya.
“Disebabkan itu, dalam konteks perayaan, semua bangsa akan bersama-sama memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina sama seperti ketika perayaan Aidilfitri, Krismas mahupun Deepavali.
“Baginda berharap budaya perkongsian dan muafakat terus diamalkan dan bukan sekadar ketika perayaan sahaja, malah setiap amalan dan kehidupan seharian perlulah dikongsi bersama agar keamanan dan kestabilan negara terus kukuh dan harmoni selamanya,” menurut perkongsian di Facebook Selangor Royal Office.
Baginda berdua turut menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Cina di Malaysia yang meraikannya.