SHAH ALAM, 28 JAN: Kerajaan Selangor akan mengatur pertemuan dengan pesawah dalam tempoh terdekat untuk menerangkan langkah meningkatkan hasil pengeluaran padi di negeri ini.
EXCO pertanian berkata pihaknya juga akan menyelesaikan beberapa isu semasa seperti harga belian padi dan syarat baharu subsidi untuk peralatan yang menjadi kebimbangan pesawah.
"Pertemuan dengan pesawah di negeri ini bakal diadakan pada Februari ini sebelum bermulanya sidang Dewan Negeri Selangor yang dijadual bermula 18 Februari.
“Kita akan menjelaskan beberapa perkara mengenai usaha untuk meningkatkan hasil pengeluaran termasuk menyelesaikan isu semasa seperti harga dan kaedah subsidi,” katanya yang menambah Selangor mempunyai lebih 9,000 pesawah dengan kawasan tanaman seluas kira-kira 18,000 hektar.
Beliau ditemui pemberita selepas mesyuarat antara Kerajaan Selangor dan Negeri Sembilan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Izham berkata pentadbiran negeri sudah mengenal pasti beberapa pendekatan untuk membantu menyelesaikan masalah kemerosotan harga belian padi.
"Saya juga berkongsi kebimbangan pesawah terutamnya harga padi dan kaedah subsidi ketika bertemu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu sebelum ini.
"Kita sudah sampaikan perkata itu dan kena ada satu proses cadangan, dan migrasi itu perlu fleksibiliti dan ada keanjalan dalam segi perlaksanaannya," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 4,000 pesawah di Sungai Besar merungut berikutan harga belian padi turun mendadak kepada RM1,400 berbanding RM1,650 per tan pada musim lalu.